Friday, 5 August 2011
Thursday, 4 August 2011
KENYATAAN MEDIA (3 OGOS 2011)
ISU: PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI SYRIA
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terkejut dan memandang serius laporan akhbar-akhbar luar Negara mengenai krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria. Dilaporkan lebih 1100 orang telah dibunuh oleh askar pemerintah dalam usaha mengekang kebangkitan rakyat menentang kezaliman pemerintah Kerajaan Presiden Bashar Al Asad. Dilaporkan juga ketumbukan tentera juga menghalang rakyat melakukan solat terawikh kerana dikhuatiri menjadi medan kepada penentangan terhadap pemerintah Syria. Helikopter, kereta kebal dan peralatan moden digunakan bagi memerangi penentangan terhadap pemerintah Syria.
Beberapa Negara luar telahpun menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan tentera Syria ini dan mendesak tindakan tersebut dihentikan dengan segera. Ramai rakyat Syria telah meninggalkan Syria dan berada di Turki bagi mempastikan keselamatan mereka.
PPMM amat kesal dengan tindakan tidak berperi kemanusiaan di Syria ini dan mendesak agar Kerajaan Malaysia menghantar memorandum bantahan terhadap Kerajaan Syria. PPMM juga mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji hubungan diplomatik dengan Kerajaan Syria sekiranya perkara ini berterusan.
Dalam masa yang sama PPMM merayu Kerajaan Malaysia agar memberi bantuan yang diperlukan oleh rakyat Syria yang teraniaya dan juga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Syria sekiranya mereka memerlukan bantuan. Malah ada juga dilaporkan terdapat tentera dari luar Syria yang membantu melaksanakan misi tidak berperi kemanusiaan ini.
Krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria khususnya di Hama, Maarat al Numan dan Jisr al Shugher amat mendukacitakan apatah lagi ianya berlaku di dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang diharamkan berperang. Syria sebelum ini juga mempunyai rekod hak asasi kemanusiaan yang burok tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Masyarakat antarabangsa juga perlu mengambil tindakan bagi merealisasikan hak kemanusiaan sejagat di Syria.
Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat laporan bahawa sasaran serangan juga berlaku kepada para alim ulama dari kalangan ahli Sunnah kerana mereka dikatakan sebagai pemangkin kepada penentangan ini. Sekiranya apa yang dilaporkan ini benar ia adalah tindakan penghapusan etnik Sunnah yang berlaku di Syria.
PPMM juga menyeru semua rakyat Malaysia berdoa agar krisis kemanusiaan di Syria ini dapat diselesaikan dengan segera. Segala perbezaan hendaklah diselesaikan melalui meja rundingan dan bukan persenjataan.
PPMM menggesa pemimpin dan masyarakat antarabangsa mengambil semua langkah yang perlu bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Syria ini dan mempastikan hak asasi manusia terpelihara di Negara tersebut.
DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)
KENYATAAN MEDIA (15 Julai 2011)
ISU: LARANGAN OPERASI PUSAT HIBURAN
PPMM menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kedah melarang operasi pusat hiburan di negeri tersebut sepanjang bulan Ramadhan akan datang. PPMM menyeru kerajaan negeri lain juga mencontohi larangan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah tersebut. Larangan tersebut bertujuan menjaga kesucian agama Islam serta menggalakkan umat Islam beribadat di dalam bulan yang suci itu.
PPMM kesal dengan tindakan MCA dan DAP mempertikaikan larangan tersebut yang langsung tidak peka kepada sensitiviti umat Islam di bulan yang suci itu. Tindakan kedua parti politik tersebut memberi implikasi kepada kedudukan dan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Islam juga merupakan agama bagi semua negeri di Malaysia selain Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri.
Ia juga menimbulkan persoalan adakah kedua parti politik tersebut yang ditunjangi oleh orang bukan Islam tidak peka dengan kehendak dan keperluan orang Islam.
PPMM berpandangan segala kepentingan lain termasuk kepentingan ekonomi hendaklah tidak mengatasi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri-Negeri.Tidak lama dahulu juga pernah seorang menteri mengesyorkan bulan Ramadhan dijadikan pesta makanan dan menarik pelancong dari luar negara. Hal yang demikian juga telah menyinggung perasaan umat Islam kerana bulan Ramadhan yang suci itu tidak seharusnya dipenuhi dengan pesta –pesta tetapi dengan ibadat dan pencarian ilmu.
PPMM menggesa supaya semua rakyat sama ada pemimpin ataupun rakyat tanpa mengira agama memahami ajaran Islam yang sebenar dan tidak menjadikan agama sebagai alat untuk memperolehi sesuatu objektif.
PPMM mendesak Kerajaan Negeri Kedah amnya dan YAB Menteri Besar Kedah bertegas dengan ketetapan larangan tersebut tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan lain. PPMM juga menyembah takzim kepada ke bawah Duli Sultan Kedah sebagai Ketua Agama agar tidak berganjak dengan ketetapan bagi memelihara kesucian agama Islam.
PPMM juga menyeru kepada ahli-ahli politik yang lain khususnya UMNO agar mengenepikan ideologi politik dan menyokong larangan tersebut demi memelihara kesucian agama Islam dan menjauhkan umat Islam dari gejala maksiat khususnya di bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiah umat Islam sekiranya tarbiah di bulan Ramadhan ini berjaya ia akan berkekalan sehingga 11 bulan yang berikutnya. Perbezaan ideologi politik di kalangan umat Islam telah menjadikan umat Islam tidak bersatu walaupun di dalam isu-isu Islam.
Pihak yang tidak berpuashati dengan larangan tersebut hendaklah berbincang dengan Kerajaan Negeri Kedah mengenai isu ini dan Kerajaan Negeri Kedah hendaklah berupaya menerangkan dasar negeri agar pihak yang tidak berpuashati tersebut mendapat penjelasan sebenar mengenai isu ini. Kedua belah pihak hendaklah ikhlas berbincang bagi mencapai kata sepakat selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
UCAPAN DASAR PRESIDEN
30 Jun 2011
Dewan Kuliah, Masjid Negara Kuala Lumpur
Pertama-tamanya saya memanjatkan penuh kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah dan rahmatNya kita dapat berkumpul di petang yang indah ini di sebuah rumah Allah. Salawat dan salaam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Selaku Presiden PPMM saya mengalu-alukan kedatangan ahli-ahli PPMM di rumah Allah ini bagi menjayakan Mesyuarat Agong Tahunan PPMM kali ke 24 ini. Kedatangan tuan-tuan dan puan-puan adalah manifestasi komitmen kita kepada perjuangan Islam. Sebagai seorang Muslim yang diamanahkan oleh Allah swt dengan ilmu perundangan, kita tidak akan dapat lari dari dipersoalkan peranan dan tanggungjawab yang perlu kita galas bersama. Melaksanakan perintah Allah bukan sehaja merupakan tanggungjawab pemimpin tetapi juga obligasi yang mana setiap dari kita wajib memikulnya.
Sebagaimana yang diketahui peralihan pimpinan PPMM bagi sessi 2009/2011 ini hanya berlaku di akhir bulan Disember 2009. Selama lebih kurang setahun setengah barisan pimpinan PPMM ini telah berusaha keras bagi menyelesaikan segala isu tertunggak dalaman PPMM. Walaupun tempoh tersebut amat pendek tetapi Alhamdulillah kebanyakan isu-isu besar yang melibatkan Pendaftar Pertubuhan telah dapat diselesaikan dengan baik dalam tempoh tersebut walaupun kadangkala menemui jalan yang agak buntu pada sesuatu ketika.
Lakaran Sejarah PPMM tetap utuh terpahat terpahat di dalam lipatan perjuangan. Nama pimpinan-pimpinan terdahulu yang dimulai dengan Dato’ Zaid Ibrahim, Dato’ Paduka Hajah Zaitoon Othman dan Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang tidak akan dipadamkan di dalam buku sejarah PPMM. Biarpun pendekatan yang diambil oleh saf pimpinan sekarang agak berbeza dengan pendekatan terdahulu namun biarlah sejarah terdahulu menjadi sempadan dan teladan kepada ahli-ahli PPMM. Ia tidak akan sekali-kali dipadamkan ataupun dipinda. Kita amat bertuah mempunyai mantan Presiden seperti YB Tan Sri, yang tidak jemu-jemu membimbing kami menjalankan tugas. Dalam hal yang demikian YB Tan Sri telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden yang dibentuk bagi menasihati pimpinan PPMM dari masa kesemasa. Tuan Haji Muhamad Burok pula yang telah mencurahkan bakti dan keringatnya merupakan orang yang tidak asing dalam PPMM pula telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Presiden.
Kesinambungan antara bekas pemimpin dan pemimpin sekarang amat diperlukan bagi PPMM sekarang bergerak lebih beriringan dan dalam masa yang sama tidak melupakan jasa bakti orang terdahulu. Kami tidak berhasrat untuk memutuskan kesinambungan tersebut kerana pimpinan sekarang rata-ratanya generasi baru yang tidak mempunyai pengalaman yang luas dan mantap. Kami masih dahagakan panduan dan nasihat dari pimpinan terdahulu. Malah kami menagih panduan dari ahli-ahli PPMM semua.
Saf pimpinan era masakini cuba membawa PPMM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat appolitical. Sebagai sebuah NGO berteraskan Islam di arusperdana, PPMM mahu melihat PPMM sebagai sebuah badan professional yang bersifat non-partisan dan berpegang kepada undang-undang dan syariah. PPMM juga mahu memainkan peranan penting di dalam mengatur arah dan menjadi pemangkin kesatuan dan wehdatul fikri NGO Islam yang lain. Dalam hal yang demikian PPMM telah menjadi badan yang instrumental di dalam menggerakkan PEMBELA. PEMBELA merupakan gabungan NGO-NGO Islam arusperdana yang membela institusi dan kepentingan Islam di Malaysia. Tidak hairanlah kehadiran wakil PPMM sering dinanti-nanti di dalam mesyuarat dan gerakkerja NGO Islam.
Dalam rangka memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat perundangan di Malaysia, PPMM sedang berusaha untuk menubuhkan Yayasan Peguam Muslim. Yayasan ini akan berupaya untuk menggembeling tenaga generasi muda agar lebih berperanan dan terlatih sebagai seorang peguam samada sivil atau syariah. Kita juga akan melatih kader-kader di kalangan peguam-peguam muda agar satu hari nanti mereka boleh diserap ke dalam Majlis Peguam dan seterusnya memimpin Majlis Peguam tersebut, membawa Majlis Peguam agar lebih Islamik dan menghormati hak-hak Islam. Diharapkan dengan tertubuhnya Yayasan Peguam Muslim ini nanti koordinasi gerakkerja PPMM akan menjadi lebih mantap dan berterusan. PPMM akan cuba menggarap piawaian minima terhadap standard dan kualiti peguam agar peguam muslim akan sentiasa dihormati dan dicari-cari.
Saya mengakui dalam jangkamasa yang terhad ini iaitu kurang dari dua tahun banyak perkara yang masih belum dapat dilakukan dengan baik oleh pimpinan PPMM. Aktiviti PPMM dalam tempoh tersebut hanya tertumpu kepada menyelesaikan isu dalaman PPMM serta mengarusperdanakan syariah. Perkara-perkara lain seperti hak asasi, perundangan sivil, perbankan Islam dan banyak aspek perundangan yang lain masih belum disentuh oleh PPMM. Kami barisan pimpinan PPMM merayu kepada ahli-ahli PPMM agar menghulurkan tangan membantu pimpinan PPMM untuk menangani perkara-perkara lain tersebut agar PPMM dapat memberi kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Siapalah kami jika tidak mendapat sokongan dan dokongan ahli-ahli. Kita mahu PPMM dilihat tidak hanya menjuarai isu-isu Islam tetapi isu perundangan samada di peringkat nasional atapun global. Dalam konteks ini interaksi dengan ahli-ahli PPMM di seluruh Malaysia dan masyarakat awam akan diperbanyakkan lagi. PPMM juga akan merancang program-program separa legal bagi meningkatkan ukhuwah di kalangan ahli-ahli.
Selain daripada aktiviti-aktiviti dan penyertaan PPMM di dalam event-event negara, PPMM juga seringkali diminta menasihati pihak-pihak tertentu samada secara berkala ataupun sebaliknya. PPMM mempunyai hubungan yang erat dengan ashabul samahah Mufti-Mufti Kerajaan khususnya Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Selangor. Begitu dengan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan JAKIM. Begitu juga halnya dengan NGO-NGO Islam, badan berkanun dan pertubuhan lain yang selalu merujuk isu perundangan kepada PPMM.
Aktiviti PPMM sebenarnya tidak terhad di dalam Malaysia sahaja tetapi juga jauh keluar negara. Pada bulan Disember 2010 saya telah diberi kepercayaan untuk mengadakan ceramah undang-undang kepada pelajar Malaysia di Jordan. Inshaallah pada penghujung bulan Julai ini pula, delegasi PPMM dijangka akan ke Mesir dan Jordan sekali lagi bagi mengadakan ceramah literasi undang-undang kepada pelajar Malaysia di Mesir dan Pelancaran Kelab Peguam Muda di Jordan. PPMM telah menawarkan program tajaan biasiswa DSLP kepada pelajar syariah Malaysia di Jordan. Setakat ini sebanyak 12 firma guaman yang telah bersetuju menaja biasiswa untuk pelajar Jordan ini. Inshaallah sekiranya program ini berjaya PPMM akan membuka peluang kepada pelajar Malaysia di negara lain termasuklah lulusan university tempatan. Kita akan memilih pelajar terbaik di Jordan dan melatih mereka sebagai pemimpin PPMM pada masa akan datang.
Sejak mutakhir ini PPMM sering diberi tempat di persada negara dalam isu isu besar. Isu-isu ini pula semakin hari semakin kompleks. PPMM tidak boleh tercicir dari berperanan kerana kebanyakan permasalahan yang timbul kerana sebahagian dari kita menanggalkan pakaian agama dari kehidupan seharian. Memartabatkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan merupakan agenda utama yang tidak harus dikesampingkan. Perkara 3 mesti difahami dengan betul dan selaras dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan. PPMM perlu melihat sesuatu isu secara mikro dan makro, tidak hanya menumpukan aktiviti secara mendatar tetapi juga menegak. Namun kami sedar ianya bukanlah suatu perkara yang mudah. Doakan kami mampu melakukan yang terbaik.
Krisis politik yang sekian hari semakin meruncing telah menjadikan PPMM lebih berperanan sebagai ‘the third force’. PPMM tidak akan sekali-kali menceburi dunia politik walaupun terdapat ramai ahli yang menganggotai parti-parti siasah. Hak ahli menganggotai parti politik amat dihormati tetapi di dalam menggarap pandangan dan aktiviti PPMM, neraca politik kepartian hendaklah diketepikan. Suara PPMM yang berteraskan perundangan dan syariah mestilah lantang kedengaran dan tidak diperkotak-katikkan oleh sesiapapun. Walaupun acapkali PPMM dikritik tetapi inshaallah kritikan tersebut tidak langsung menghakis kejituan dan kekentalan PPMM di dalam menangani isu-isu Islam. PPMM sebenarnya tidak mengharapkan pengiktirafan dari sesiapapun tetapi pengiktirafan tersebut akan menambahkan lagi semangat dan daya juang PPMM di dalam menginfakkan PPMM di jalanNya.
Dalam usaha ini PPMM harus menilai sesuatu isu dengan kebenaran dan tidak taksub dengan mana-mana golongan. Kata-kata Saidina Ali kw sentiasa iaitu ta’riful rijal bil haq la ta’riful haq bil rijal yang bermaksud nilailahi seseorang dengan kebenaran bukan menilai kebenaran dengan seseorang. PPMM hendaklah meneima sesuatu berdasarkan kebenarannya bukan kerana status yang mengatakannya. Menimbang kedudukan seseorang juga hendaklah atas dasar sejauh mana jaraknya dari prinsip dan ajaran Islam, pandangan dan kefahamannya terhadap da’wah dan deen Allah SWT. Unsur-unsur lain hendaklah diketepikan semasa membuat pertimbangan.
Pengiktirafan yang diberikan kepada PPMM bukan juga merupakan suatu kemuliaan (tasyrif) tetapi lebih merupakan bebanan (taklif) atau cabaran kepada PPMM untuk memacu tranformasi undang-undang Islam yang lebih taqarrub kepada amar maaruf wa nahyu anil munkar. Jawatan yang disandang oleh saya dan pimpinan PPMM lain akan dipersoal kelak dan seharusnya dilaksanakan dengan penuh amanah. Saya sedar bahawa saya tidak akan selamanya berada di jawatan ini, saya akur bahawa ahli mempunyai kuasa penuh memberi mandat kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak untuk memimpin PPMM. Tidak kira siapa yang memimpin saya mengajak semua ahli PPMM supaya merapatkan saf perjuangan dan bersama-sama menggerakkan PPMM.
Sebagai pemimpin PPMM saya cuba untuk membuat decentralisation di dalam PPMM. Segala arahan dan aktiviti tidak hanya berpusat kepada Presiden sahaja. Exco dan ahli lain juga digalakkan untuk mewakili PPMM dalam apa jua aktiviti. Dengan cara ini kita akan dapat membina barisan pelapis kedua dan ketiga agar PPMM tidak ketandusan pemimpin kelak. Segala dasar tidak hanya akan dibuat oleh Presiden tetapi juga digarap pandangannya dari pemimpin yang lain. Malah ‘autonomi’ yang agak besar diberikan kepada Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan Setiausa Agong. Ia adalah bertujuan untuk memantapkan PPMM dan tidak kaku ketika Presiden melaksanakan tanggungjawab lain. Ia juga berpaksikan kepada nilai-nilai luhur dan kecekapan membuat tindakan supaya suadaya PPMM tidak ketinggalan.
Akhirnya saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bermesyuarat kepada semua ahli-ahli PPMM. Pandangan dan kritikan ahli-ahli amatlah dihargai. Sebagai pemimpin PPMM kami tidak akan menganggap apa-apa kritikan sebagai penentangan tetapi dalam maksud yang lebih murni ialah untuk islah kepada organisasi kita iaitu PPMM. Bagi pihak barisan pimpinan PPMM saya memohon maaf sekiranya apa yang telah kami laksanakan masih berada di bawah paras yang diharapkan oleh ahli-ahli. Segala yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu semata-mata dari kami. Kita merancang Allah juga merancang dan perancangan Allah lah merupakan perancangan yang terbaik.
Selamat memilih pimpinan baru PPMM bagi sessi 2011/2013!
Wassalam
Dato’ Hj Zainul Rijal Abu Bakar DPMP, AMN
Mesyuarat Agong Tahunan PPMM Kali Ke-24
Mesyuarat Agong PPMM kali ke 24 yang diadakan pada 30 haribulan Julai 2011 di Dewan Kuliah Masjid Negara telah secara sebulat suara mengekalkan Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar sebagai Presiden PPMM bagi sesi 2011/2013. Manakala Tuan Haji Abdul Rahim Sinwan dipilih sebagai Timbalan Presiden menggantikan Tuan Haji Mohd Haniff Khatri Abdulla yang tidak mempertahankan jawatan. Tiga orang naib Presiden yang terpilih pula adalah Tuan Haji Azril Mohd Amin, Puan Fakihah Azhari dan Puan Marlina Amir Hamzah.
Enam orang ahli jawatankuasa yang dipilih pula adalah Tuan Mohd Nadzim Ibrahim, Tuan Roslizam Rahim, Tuan Haji Muhamad Burok, Tuan Zainal Abidin Sh Zakaria, Cik Yusmawati Ab Llah dan Tuan Mohd Firdaus Mohamed Arifin.
Tuan Abdul Halim Bahari pula dikekalkan sebagai Setiausaha Agong PPMM manakala jawatan Bendahari Kehormat akan diumumkan setelah mendapat persetujuan calon.
Pemilihan dwi tahunan ini adalah bagi memantapkan lagi aktiviti dan gerakkerja PPMM. Jawatankuasa baru ini akan berkhidmat sehingga tahun 2013. Pelbagai agenda telah dibincangkan semasa mesyuarat agong dan jawatankuasa baru ini akan berusaha untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.
Subscribe to:
Posts (Atom)