TINDAKAN KEKERASAN TERHADAP DEMONSTRANS DI UPSI TANJUNG MALIM
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan peristiwa kekerasan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berdemonstrasi di UPSI Tanjung Malim semalam sehingga ramai yang ditahan dan beberapa orang dilaporkan cedera parah.
PPMM menegaskan bahawa hak untuk berkumpul adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mengikut lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Sekiranya pun demonstrasi tersebut tidak dilakukan mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa seharusnya menangani isu ini dengan lebih berhemah dan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ada. Kekerasan di pihak berkuasa perlu dihindarkan melainkan dalam keadaan yang langsung tidak dapat dielakkan.
PPMM amat sedih dan kesal atas kejadian ini kerana seharusnya insiden ini ditangani dengan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. PPMM juga menggesa mahasiswa yang sedang diberi rawatan atas kecederaan yang dialami diberikan rawatan terbaik bagi memulihkan kesihatan mereka dan bagi mahasiswa yang ditahan dibebaskan dengan segera. Sekiranya pihak berkuasa berpandangan ada berlaku perlanggaran undang-undang mereka bolehlah didakwa di mahkamah dan diberi hak membela diri sepenuhnya.
PPMM juga menggesa agar kertas siasatan juga dibuka oleh pihak berkuasa bagi menyiasat insiden ini dan sekiranya terdapat kekearasan yang melampaui undang-undang maka orang yang bertanggungjawab menyebabkan kekerasan sedemikian wajib dihadapkan ke mahkamah untuk diadili mengikut proses mahkamah dan diberi hak juga untuk membela diri sepenuhnya. PPMM amat khuatir jika insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada pihak berkuasa melaksanakan tindakan mereka.
Insiden sebegini adalah salah satu insiden yang mencemarkan imej negara dari perspektif dunia. Insiden ini juga menzahirkan sistem demokrasi yang semakin disanggah oleh pihak berkuasa. PPMM menyeru pihak berkuasa agar tidak bertindak melampaui batas perundangan yang digariskan di dalam menangani isu-isu sebegini.
Mahasiswa adalah golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab pimpinan negara pada masa hadapan. Mereka perlu didekati dan disantuni walaupun dalam keadaan perbezaan pandangan dengan mana-mana pihak. Mereka perlu dibimbin, dididik dan diselami jiwa meraka bukannya dilayani dengan kekerasan. Mahasiswa adalah agen perubahan dan aset kepada negara.
Oleh hal yang demikian adalah amat wajar pihak berkuasa menangani isu mahasiswa dengan lebih berhemah dan penuh hikmah.
Segala tindakan pihak berkuasa hendaklah berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia.
DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)
Salam,
ReplyDeleteBoleh saya dapatkan e-mel ID Tuan Haji Abdul Rahim Sinwan.
Terima Kasih
Fariz Abdullah
farizabdullah.my@gmail.com