Thursday 5 January 2012

KENYATAAN MEDIA (21 Oktober 2011)

PENGGANTUNGAN TUGAS PROF DR AZIZ BARI

Liputan media beberapa hari ini menyiarkan tindakan yang diambil oleh Pengurusan UIA terhadap seorang Pensyarah iaitu Prof Dr Aziz Bari dan dilaporkan Prof Dr Aziz juga digantung dari tugas beliau sebagai pensyarah universiti tersebut.

Prof Dr Aziz bukanlah seorang yang asing dari PPMM kerana pimpinan PPMM sering bersama beliau didalam seminar, forum dan ceramah di seluruh negara. Banyak pandangan Prof Dr Aziz yang selari dengan pandangan PPMM dan ada juga pandangan PPMM yang berbeza dengan Prof Dr Aziz.

Berbalik kepada tindakan yang diambil terhadap pensyarah undang-undang Perlembagaan tersebut, PPMM menegaskan bahawa apa jua tindakan mestilah berpaksikan kepada undang-undang dan keadilan. Bukti perlulah dikemukakan bagi menyokong sebarang tindakan.

Sebarang tindakan perlulah mengambil kira kesan kepada ahli akademik di dalam kajian ilmiah mereka agar pembangunan ilmiah tidak dikesampingkan.

PPMM tidak berhasrat untuk campurtangan di dalam hal ehwal UIA dalam isu merit tindakan yang diambil tetapi menekankan bahawa proses undang-undang yang wajar (due process of law) perlulah diberikan kepada Prof Dr Aziz Bari di dalam setiap prosiding terhadap beliau. Proses undang-undang yang wajar tersebut termasuklah hak untuk didengar atau audi alteram partem dan mendapat perbicaraan yang adil berdasarkan undang-undang.

PPMM juga menghormati hak berhimpun pelajar-pelajar universiti berkenaan menzahirkan rasa terkilan mereka dengan berdemonstrasi selagi ianya dilakukan di dalam ruanglingkup yang dibenarkan oleh undang-undang.

PPMM juga menyeru semua pihak berlaku adil dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sekiranya ada mana-mana pihak yang masih terkilan dengan sebarang tindakan maka perkara tersebut boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.


DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL BIN ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

No comments:

Post a Comment