Thursday 5 January 2012

KENYATAAN MEDIA (3 November 2011)

LAPORAN KOSMO! 23 DISEMBER 2011 BERTAJUK ‘KES MURTAD DIBICARA DI MAHKAMAH SIVIL’

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan laporan akhbar  di atas yang dikatakan memetik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Jamil Khir Baharom sebagai berkata semua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh Negara.

PPMM menegaskan bahawa kedudukan sebegitu jelas bercanggah dengan  Perlembagaan Persekutuan dan penghakiman kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan mengenai isu sedemikian.

PPMM telah menghubungi YB Datuk Sri Jamil Khir Baharom pada hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut beliau dan YB Datuk Sri Jamil Khir memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengatakan  perbicaraan  semua kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil.  Beliau seterusnya menjelaskan bahawa beliau mengatakan perbicaraan untuk memurtadkan umat Islam akan didengar dan diputuskan di mahkamah sivil selaras dengan peruntukan Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam. Memurtadkan dan murtad adalah dua perkara yang berbeza. Perbuatan memurtadkan melibatkan pihak ketiga berbanding murtad yang melibatkan individu itu sendiri sahaja.

PPMM sekali lagi menegaskan bahawa kes murtad secara jelasnya adalah berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat perbuatan atau cubaan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam maka kesalahan terdapat akan dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia mungkin akan melibatkan orang bukan Islam. Hal yang sedemikian memang sudah termaktub di dalam Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam tersebut.

PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa agar negeri-negeri yang masih belum menggubal undang-undang sedemikian agar segera menggubal dan mewartakannya. Seterusnya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap tindakan yang melanggar undang-undang tersebut. PPMM difahamkan terdapat banyak laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di dalam undang-undang tersebut tetapi tiada tindakan yang telag diambil oleh pihak berkuasa.

PPMM akan bersama-sama dengan semua agensi agama dan umat Islam seluruhnya  bagi mempertahankan kedudukaan agama Islam di Malaysia.  PPMM juga turut terlibat melatih fasilitator Unit Penasihatan Aqidah kemahiran-kemahiran dan ilmu yang berkaitan bagi memantap dan memperkasakan Unit Penasihatan Aqidah sebagaimana kursus yang dijalankan pada 16-18 Disember 2011 lalu bersama-sama Jabatan Mufti Selangor.

PPMM juga berharap pihak KOSMO! dapat memperbetulkan laporan akhbar tersebut yang amat mengelirukan dan mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Islam.


DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

No comments:

Post a Comment