Thursday, 5 January 2012

KENYATAAN MEDIA (1 Januari 2012)

TINDAKAN KEKERASAN TERHADAP DEMONSTRANS DI UPSI TANJUNG MALIM

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan peristiwa kekerasan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berdemonstrasi di UPSI Tanjung Malim semalam sehingga ramai yang ditahan dan beberapa orang dilaporkan  cedera parah.

PPMM menegaskan bahawa hak untuk berkumpul adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mengikut lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Sekiranya pun demonstrasi tersebut tidak dilakukan mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa seharusnya menangani isu ini dengan lebih berhemah dan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ada. Kekerasan di pihak berkuasa perlu dihindarkan melainkan dalam keadaan yang langsung tidak dapat dielakkan.

PPMM amat sedih dan kesal atas kejadian ini kerana seharusnya insiden ini ditangani dengan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. PPMM juga menggesa mahasiswa yang sedang diberi rawatan atas kecederaan yang dialami diberikan rawatan terbaik bagi memulihkan kesihatan mereka dan bagi mahasiswa yang ditahan dibebaskan dengan segera. Sekiranya pihak berkuasa berpandangan ada berlaku perlanggaran undang-undang mereka bolehlah didakwa di mahkamah dan diberi hak membela diri sepenuhnya.

PPMM juga menggesa agar kertas siasatan juga dibuka oleh pihak berkuasa bagi menyiasat insiden ini dan sekiranya terdapat kekearasan yang melampaui undang-undang maka orang yang bertanggungjawab menyebabkan kekerasan sedemikian wajib dihadapkan ke mahkamah untuk diadili mengikut proses mahkamah dan diberi hak juga untuk membela diri sepenuhnya. PPMM amat khuatir jika insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada pihak berkuasa melaksanakan tindakan mereka.

Insiden sebegini adalah salah satu insiden yang mencemarkan imej negara dari perspektif dunia.  Insiden ini juga menzahirkan sistem demokrasi yang semakin disanggah oleh pihak berkuasa.  PPMM menyeru pihak berkuasa agar tidak bertindak melampaui batas perundangan yang digariskan di dalam menangani isu-isu sebegini.

Mahasiswa adalah golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab pimpinan negara pada masa hadapan. Mereka perlu didekati dan disantuni walaupun dalam keadaan perbezaan pandangan dengan mana-mana pihak. Mereka perlu dibimbin, dididik dan diselami jiwa meraka bukannya dilayani dengan kekerasan. Mahasiswa adalah agen perubahan dan aset kepada negara.

Oleh hal yang demikian adalah amat wajar pihak berkuasa menangani isu mahasiswa dengan lebih  berhemah dan penuh hikmah.

Segala tindakan pihak berkuasa hendaklah berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia.


DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

KENYATAAN MEDIA (3 November 2011)

LAPORAN KOSMO! 23 DISEMBER 2011 BERTAJUK ‘KES MURTAD DIBICARA DI MAHKAMAH SIVIL’

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan laporan akhbar  di atas yang dikatakan memetik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Jamil Khir Baharom sebagai berkata semua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh Negara.

PPMM menegaskan bahawa kedudukan sebegitu jelas bercanggah dengan  Perlembagaan Persekutuan dan penghakiman kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan mengenai isu sedemikian.

PPMM telah menghubungi YB Datuk Sri Jamil Khir Baharom pada hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut beliau dan YB Datuk Sri Jamil Khir memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengatakan  perbicaraan  semua kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil.  Beliau seterusnya menjelaskan bahawa beliau mengatakan perbicaraan untuk memurtadkan umat Islam akan didengar dan diputuskan di mahkamah sivil selaras dengan peruntukan Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam. Memurtadkan dan murtad adalah dua perkara yang berbeza. Perbuatan memurtadkan melibatkan pihak ketiga berbanding murtad yang melibatkan individu itu sendiri sahaja.

PPMM sekali lagi menegaskan bahawa kes murtad secara jelasnya adalah berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat perbuatan atau cubaan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam maka kesalahan terdapat akan dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia mungkin akan melibatkan orang bukan Islam. Hal yang sedemikian memang sudah termaktub di dalam Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam tersebut.

PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa agar negeri-negeri yang masih belum menggubal undang-undang sedemikian agar segera menggubal dan mewartakannya. Seterusnya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap tindakan yang melanggar undang-undang tersebut. PPMM difahamkan terdapat banyak laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di dalam undang-undang tersebut tetapi tiada tindakan yang telag diambil oleh pihak berkuasa.

PPMM akan bersama-sama dengan semua agensi agama dan umat Islam seluruhnya  bagi mempertahankan kedudukaan agama Islam di Malaysia.  PPMM juga turut terlibat melatih fasilitator Unit Penasihatan Aqidah kemahiran-kemahiran dan ilmu yang berkaitan bagi memantap dan memperkasakan Unit Penasihatan Aqidah sebagaimana kursus yang dijalankan pada 16-18 Disember 2011 lalu bersama-sama Jabatan Mufti Selangor.

PPMM juga berharap pihak KOSMO! dapat memperbetulkan laporan akhbar tersebut yang amat mengelirukan dan mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Islam.


DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

KENYATAAN MEDIA (3 November 2011)

PENGANJURAN ACARA MENGGALAKKAN KEGIATAN SONGSANG FITRAH – SEKSUALITI MERDEKA

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyertai rakan-rakan NGO Islam lain khususnya PEMBELA serta seluruh rakyat Malaysia dalam membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya festival Seksualiti Merdeka dan siri program berkaitan LGBT yang telah dan akan dianjurkan oleh beberapa NGO, artis dan aktivis atas nama hak asasi manusia.

PPMM menegaskan bahawa penganjuran aktiviti sebegini dengan sengaja mengundang usaha untuk terus-menerus menongkah norma serta realiti kehidupan beragama dan berlandaskan susila ketimuran di kalangan seluruh masyarakat Malaysia. Selari dengan prinsip pertama “Kepercayaan Kepada Tuhan” dan “Kesopanan dan Kesusilaan” di dalam Rukunegara, sudah tentu kedegilan penganjur serta penyokong aktiviti ini merupakan penghinaan terhadap kepercayaan serta amalan beragama masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang semuanya dengan jelas menolak amalan songsang fitrah yang menjadi kepercayaan serta landas perjuangan kaum LGBT.

Keterlibatan Majlis Peguam Malaysia khususnya memberikan kesan kerana membantu serta menggalakkan kemungkinan untuk perlakuan jenayah yang jelas dinyatakan di dalam Kanun Kesiksaan dan kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah di bawah enakmen-enakmen negeri di Malaysia. Justeru, penglibatan Majlis Peguam di dalam penganjuran dan sokongan SEKSUALITY MERDEKA ini sangat dikesalkan. PPMM menggesa Majlis Peguam memohon maaf serta menarik balik penglibatan dan sokongannya terhadap aktiviti ini dengaan serta merta.

PPMM juga menerima banyak aduan dan pertanyaan dari kalangan peguam-peguam beragama Islam yang tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Peguam tersebut.

Justeru, PPMM juga menggesa kepimpinan Majlis Peguam untuk meletak jawatan kerana gagal mendaulatkan undang-undang dan sebaliknya mempromosi gaya hidup tidak bermoral dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Majlis Peguam dilihat sebagai memberi tiket percuma kepada seseorang melakukan perlakuan jenayah. Pendekatan apologetik terhadap perlakuan sumbang dan tidak bermoral golongan LGBT ini harus dihentikan serta-merta kerana ternyata ia telah meruntuhkan institusi kekeluargaan dan memporak-perandakan norma-norma masyarakat bertamadun. Tidak semua hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan. Deklarasi Yogjakarta yang mengiktiraf gayahidup songsang ini tidak harus dijadikan ikutan di Malaysia.

PPMM menegaskan kuasa yang diberikan kepada Bar Malaysia di dalam seksyen 42 Akta Profesion Guaman 1976 dan kepada Majlis Peguam di dalam seksyen 56 dan 57 Akta yang sama tidak boleh dilaksanakan dengan memprejudis atau memudaratkan agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

PPMM juga merafak sempah kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu agar menzahirkan keprihatinan baginda-baginda Tuanku menentang pengimportan gejala keji ini sebagai memelihara kedudukan agama Persekutuan serta agama-agama lain yang tidak membenarkan aktiviti tidak bermoral ini.
PPMM menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya badan-badan bukan kerajaan dari pelbagai agama, pemimpin-pemimpin politik serta agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk menyuarakan pendirian mereka dengan jelas untuk menentang SEKSUALITY MERDEKA – serta menggerakkan usaha memastikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak turut di dalam kegiatan keji dan dilarang agama yang cuba dipelopori gerakan LGBT melalui topeng-topeng hak asasi manusia seperti SEKSUALITY MERDEKA.

Golongan LGBT ini perlu didekati untuk diberikan pendidikan dan tarbiyah meninggalkan amalan terkutuk tersebut dan berbalik kepada ajaran agama masing-masing bukan diberi galakan atau pengiktirafan untuk terus melakukan aktiviti tidak bermoral itu.


DATO’ HJ. ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA (21 Oktober 2011)

PENGGANTUNGAN TUGAS PROF DR AZIZ BARI

Liputan media beberapa hari ini menyiarkan tindakan yang diambil oleh Pengurusan UIA terhadap seorang Pensyarah iaitu Prof Dr Aziz Bari dan dilaporkan Prof Dr Aziz juga digantung dari tugas beliau sebagai pensyarah universiti tersebut.

Prof Dr Aziz bukanlah seorang yang asing dari PPMM kerana pimpinan PPMM sering bersama beliau didalam seminar, forum dan ceramah di seluruh negara. Banyak pandangan Prof Dr Aziz yang selari dengan pandangan PPMM dan ada juga pandangan PPMM yang berbeza dengan Prof Dr Aziz.

Berbalik kepada tindakan yang diambil terhadap pensyarah undang-undang Perlembagaan tersebut, PPMM menegaskan bahawa apa jua tindakan mestilah berpaksikan kepada undang-undang dan keadilan. Bukti perlulah dikemukakan bagi menyokong sebarang tindakan.

Sebarang tindakan perlulah mengambil kira kesan kepada ahli akademik di dalam kajian ilmiah mereka agar pembangunan ilmiah tidak dikesampingkan.

PPMM tidak berhasrat untuk campurtangan di dalam hal ehwal UIA dalam isu merit tindakan yang diambil tetapi menekankan bahawa proses undang-undang yang wajar (due process of law) perlulah diberikan kepada Prof Dr Aziz Bari di dalam setiap prosiding terhadap beliau. Proses undang-undang yang wajar tersebut termasuklah hak untuk didengar atau audi alteram partem dan mendapat perbicaraan yang adil berdasarkan undang-undang.

PPMM juga menghormati hak berhimpun pelajar-pelajar universiti berkenaan menzahirkan rasa terkilan mereka dengan berdemonstrasi selagi ianya dilakukan di dalam ruanglingkup yang dibenarkan oleh undang-undang.

PPMM juga menyeru semua pihak berlaku adil dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sekiranya ada mana-mana pihak yang masih terkilan dengan sebarang tindakan maka perkara tersebut boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.


DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL BIN ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Monday, 8 August 2011

KENYATAAN MEDIA (8 OGOS 2011)

PEMERIKSAAN PASUKAN PENGUATKUASAAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR KE ATAS DREAM CENTRE


Persatuan Peguam Muslim Malaysia memandang berat terhadap kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik sebagai reaksi susulan terhadap penyiasatan Pasukan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Dream Centre, yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011.


Melihat pada respons sebahagian besar daripada pemimpin politik yang keliru dengan peranan dan tugas JAIS, PPMM berasa sangat kesal atas kejahilan (ignorance) berkaitann hakikat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan Enakmen-Enakmen yang berkuatkuasa. Malah sepanjang sejarah negara, hatta sebelum kemerdekaan sekalipun, urusan berkaitan Islam tidak pernah diletakkan di luar naungan Sultan-Sultan dan diambil-alih pemimpin poitik. Hakikat ini mestilah dihormati dalam pemimpin memberikan sebarang komentar demi memberikan keadilan terhadap semua pihak dalam menilai isu ini.

Susulan hakikat ini, pihak PPMM membuat penegasan bahawa tindakan JAIS dilakukan di bawah ruanglingkup peruntukan perlembagaan dan enakmen negeri. Pemeriksaan tersebut adalah jelas berdasarkan pada aduan yang harus diselidiki pihak JAIS sebagai pihak yang diberikan kuasa dan bertindak mengikut lunas dan perntukan undang undang. Ternyata kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berdasarkan fakta fakta serta tidak bertanggungjawab serta mungkin bermotif jahat untuk merendahkan kedudukan Institusi Islam di negara ini. Aduan yang diterima pula adalah berkaitan dengan kesalahan seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang pelauan atau niat itu.
Seksyen 57 Enakmen yang sama pula memperuntukkan “ Jika daripada maklumat yang diterima atau selainnya seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap maka dia hendaklah, melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang telah diarahkan oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, dengan serta merta menghantar laporan mengenai maklumat itu kepada Ketua Pendakwa Syarie dan hendaklah pergi sendiri atau hendaklah mempertanggungjawabkan seorang daripa pegawai bawahannya pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menyiasat fakta-fakta dan hal keadaan kes itu dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi penemuan pesalah itu.
Oleh hal yang demikian apa yang dilakukan oleh JAIS tersebut adalah di dalam kuasa yang diberikan kepada mereka.

PPMM sekali lagi menegaskan bahawa dalam hal dan urusan melibatkan pentadbiran Islam, tiada sesiapapun yang sepatutnya campurtangan, khususnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan membawa pada penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam. PPMM menggesa semua pihak, terutamanya pemimpn politik agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen terhadap isu ini.

PPMM juga menggesa agar pihak JAIS diberikan ruang seadilnya untuk menyelesaikan siasatan dengan lengkap, dan sekiranya terdapat kes yang boleh dibawa ke ruang pengadilan maka proses undang undang hendaklah mengambil tempat sewajarya (due process of law).
Adalah amat penting proses undang-undang dibenarkan berjalan secara adil dan JAIS sebenarnya tidak berkewajipan menerangkan semua fakta kepada semua orang termasuk pemimpin politik kerana ia mungkin akan menjejaskan siasatan dan juga pendakwaan kelak jika ada. Walau bagaimanapun sekiranya ada pendakwaan kelak JAIS mempunyai beban untuk mengemukakan pembuktian kesnya di mahkamah kelak. 
PPMM  menggesa semua ahli politik tidak  mempolitikkan isu ini samada mengeluarkan kenyataan terbuka menentang siasatan tersebut ataupun mengambil peluang meraih sokongan politik daripada isu ini.


ABDUL HALIM BAHARI
SETIAUSAHA AGONG
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

Friday, 5 August 2011

PPMM Merentas Benua

Kurang dari sebulan selepas Mesyuarat Agong Kali ke-24, PPMM telah melakar sejarah tersendiri dengan melaksanakan program sulongnya untuk sessi 2011/2013 melalui Program Seminar Literasi Undang-undang dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan di negara Jordan dan Mesir bermula dari 18 hingga 23 Julai 2011 yang lalu.

Program bersejarah ini adalah anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), manakala PPMM bertindak sepenuhnya selaku pelaksana program dibantu oleh Kedutaan Malaysia di Jordan dan Mesir, Jabatan Penuntut Malaysia Luar Negara dan Persatuan Mahasiswa Malaysia di Jordan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom telah melakukan upacara perasmian pembukaan bagi program tersebut di kedua-dua lokasi, lebih manis buat pertama kali dalam sejarah Kelab Peguam Muda juga telah dilancarkan dengan rasminya di Rumah Pelajar Malaysia, Amman Jordan.

Perasmian...

Tanda Ingatan...


Seramai 110 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Negara Jordan telah mengikuti program tersebut melalui pembentangan kertas kerja “Peranan dan Cabaran Peguam Syarie di Malaysia” oleh  Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presdien PPMM) dan melalui forum bertajuk “Masa Hadapan dan Cabaran Peguam Syarie Di Malaysia” oleh panelis Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM) dan Tuan Roslizam Bin Rahim (Exco PPMM), manakala Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM) telah bertindak selaku moderator.

Delegasi PPMM dan Peserta Jordan

Delegasi PPMM dan Peserta Jordan

Program di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah, Mesir pula menyaksikan penyertaan 130 orang mahasiswa-mahasiswi yang sedang menuntut di negara berkenaan dari pelbagai jurusan. Kekeliruan dan kecelaruan pemahaman peserta dalam aspek perundangan telah dijelaskan dan difahami serta dihayati dengan baik oleh peserta melalui pembentangan kertas kerja “Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia” oleh Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM), “Sejarah Dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan” oleh Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), “Isu-isu Muallaf, Murtad dan Bidangkuasa Mahkamah Syariah” oleh Tuan Roslizam bin Rahim (Exco PPMM) dan  “Hak Asasi dan Plurarisme Agama” oleh Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM).

Kekeliruan peserta mengenai isu-isu perundangan negara telah diperjelaskan lagi melalui forum “Isu-isu Perundangan di Malaysia” yang dibarisi panelis Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM) dan Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM), manakala Tuan Roslizam Bin Rahim (Exco PPMM) bertindak selaku moderator.

Delegasi PPMM dan Peserta Mesir

Delegasi PPMM dan Kakitangan Jabatan Penuntut Malaysia Mesir

Sambutan dan maklumbalas yang diterima dari peserta-peserta amat positif dan tidak kurang dari mereka yang mencadangkan agar program ini dijalankan setiap tahun untuk memperjelaskan isu-isu berkaitan undang-undang khususnya di Malaysia. PPMM merasa bangga diberi kepercayaan dalam melaksanakan program di kedua negara tersebut dan sedia bekerjasama pada masa-masa akan datang selari dengan perjuangannya untuk “Mengarusperdanakan Syariah”!




Persatuan Mahasiswa Malaysia di Jordan sahut seruan PPMM





Barisan Panel Yang Tekun Berdialog

Sekalung Budi...

Persoalan....

Antara yang hadir...
berita penuh sila ke link di bawah:

http://www.permatajordan.com/web/terkini-permata/keluarga-permata-menyahut-seruan-persatuan-peguam-muslim-malaysia-ppmm/