Friday, 5 August 2011

PPMM Merentas Benua

Kurang dari sebulan selepas Mesyuarat Agong Kali ke-24, PPMM telah melakar sejarah tersendiri dengan melaksanakan program sulongnya untuk sessi 2011/2013 melalui Program Seminar Literasi Undang-undang dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan di negara Jordan dan Mesir bermula dari 18 hingga 23 Julai 2011 yang lalu.

Program bersejarah ini adalah anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), manakala PPMM bertindak sepenuhnya selaku pelaksana program dibantu oleh Kedutaan Malaysia di Jordan dan Mesir, Jabatan Penuntut Malaysia Luar Negara dan Persatuan Mahasiswa Malaysia di Jordan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom telah melakukan upacara perasmian pembukaan bagi program tersebut di kedua-dua lokasi, lebih manis buat pertama kali dalam sejarah Kelab Peguam Muda juga telah dilancarkan dengan rasminya di Rumah Pelajar Malaysia, Amman Jordan.

Perasmian...

Tanda Ingatan...


Seramai 110 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Negara Jordan telah mengikuti program tersebut melalui pembentangan kertas kerja “Peranan dan Cabaran Peguam Syarie di Malaysia” oleh  Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presdien PPMM) dan melalui forum bertajuk “Masa Hadapan dan Cabaran Peguam Syarie Di Malaysia” oleh panelis Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM) dan Tuan Roslizam Bin Rahim (Exco PPMM), manakala Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM) telah bertindak selaku moderator.

Delegasi PPMM dan Peserta Jordan

Delegasi PPMM dan Peserta Jordan

Program di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah, Mesir pula menyaksikan penyertaan 130 orang mahasiswa-mahasiswi yang sedang menuntut di negara berkenaan dari pelbagai jurusan. Kekeliruan dan kecelaruan pemahaman peserta dalam aspek perundangan telah dijelaskan dan difahami serta dihayati dengan baik oleh peserta melalui pembentangan kertas kerja “Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia” oleh Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM), “Sejarah Dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan” oleh Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), “Isu-isu Muallaf, Murtad dan Bidangkuasa Mahkamah Syariah” oleh Tuan Roslizam bin Rahim (Exco PPMM) dan  “Hak Asasi dan Plurarisme Agama” oleh Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM).

Kekeliruan peserta mengenai isu-isu perundangan negara telah diperjelaskan lagi melalui forum “Isu-isu Perundangan di Malaysia” yang dibarisi panelis Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM) dan Tuan Abdul Halim Bahari (Setiausaha Agong PPMM), manakala Tuan Roslizam Bin Rahim (Exco PPMM) bertindak selaku moderator.

Delegasi PPMM dan Peserta Mesir

Delegasi PPMM dan Kakitangan Jabatan Penuntut Malaysia Mesir

Sambutan dan maklumbalas yang diterima dari peserta-peserta amat positif dan tidak kurang dari mereka yang mencadangkan agar program ini dijalankan setiap tahun untuk memperjelaskan isu-isu berkaitan undang-undang khususnya di Malaysia. PPMM merasa bangga diberi kepercayaan dalam melaksanakan program di kedua negara tersebut dan sedia bekerjasama pada masa-masa akan datang selari dengan perjuangannya untuk “Mengarusperdanakan Syariah”!




No comments:

Post a Comment