Thursday, 4 August 2011

KENYATAAN MEDIA (3 OGOS 2011)

ISU: PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI SYRIA

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terkejut dan memandang serius laporan akhbar-akhbar luar Negara mengenai krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria. Dilaporkan lebih 1100 orang telah dibunuh oleh askar pemerintah dalam usaha mengekang kebangkitan rakyat menentang kezaliman pemerintah Kerajaan Presiden Bashar Al Asad. Dilaporkan juga ketumbukan tentera juga menghalang rakyat melakukan solat terawikh kerana dikhuatiri menjadi medan kepada penentangan terhadap pemerintah Syria. Helikopter, kereta kebal dan peralatan moden digunakan bagi memerangi penentangan terhadap pemerintah Syria.
Beberapa Negara luar telahpun menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan tentera Syria ini dan mendesak tindakan tersebut dihentikan dengan segera. Ramai rakyat Syria telah meninggalkan Syria dan berada di Turki bagi mempastikan keselamatan mereka.
PPMM amat kesal dengan tindakan tidak berperi kemanusiaan di Syria ini dan mendesak agar Kerajaan Malaysia menghantar memorandum bantahan terhadap Kerajaan Syria. PPMM juga mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji hubungan diplomatik dengan Kerajaan Syria sekiranya perkara ini berterusan.
Dalam masa yang sama PPMM merayu Kerajaan Malaysia agar memberi bantuan yang diperlukan oleh rakyat Syria yang teraniaya dan juga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Syria sekiranya mereka memerlukan bantuan. Malah ada juga dilaporkan terdapat tentera dari luar Syria yang membantu melaksanakan misi tidak berperi kemanusiaan ini.
Krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria khususnya di Hama, Maarat al Numan dan Jisr al Shugher amat mendukacitakan apatah lagi ianya berlaku di dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang diharamkan berperang. Syria sebelum ini juga mempunyai rekod hak asasi kemanusiaan yang burok tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja. Masyarakat antarabangsa juga perlu mengambil tindakan bagi merealisasikan hak kemanusiaan sejagat di Syria.
Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat laporan bahawa sasaran serangan juga berlaku kepada para alim ulama dari kalangan ahli Sunnah kerana mereka dikatakan sebagai pemangkin kepada penentangan ini. Sekiranya apa yang dilaporkan ini benar ia adalah tindakan penghapusan etnik Sunnah yang berlaku di Syria.
PPMM juga menyeru semua rakyat Malaysia berdoa agar krisis kemanusiaan di Syria ini dapat diselesaikan dengan segera. Segala perbezaan hendaklah diselesaikan melalui meja rundingan dan bukan persenjataan.
PPMM menggesa pemimpin dan masyarakat antarabangsa mengambil semua langkah yang perlu bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Syria ini dan mempastikan hak asasi manusia terpelihara di Negara tersebut.
DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

No comments:

Post a Comment