ISU: LARANGAN OPERASI PUSAT HIBURAN
PPMM menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kedah melarang operasi pusat hiburan di negeri tersebut sepanjang bulan Ramadhan akan datang. PPMM menyeru kerajaan negeri lain juga mencontohi larangan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah tersebut. Larangan tersebut bertujuan menjaga kesucian agama Islam serta menggalakkan umat Islam beribadat di dalam bulan yang suci itu.
PPMM kesal dengan tindakan MCA dan DAP mempertikaikan larangan tersebut yang langsung tidak peka kepada sensitiviti umat Islam di bulan yang suci itu. Tindakan kedua parti politik tersebut memberi implikasi kepada kedudukan dan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Islam juga merupakan agama bagi semua negeri di Malaysia selain Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri.
Ia juga menimbulkan persoalan adakah kedua parti politik tersebut yang ditunjangi oleh orang bukan Islam tidak peka dengan kehendak dan keperluan orang Islam.
PPMM berpandangan segala kepentingan lain termasuk kepentingan ekonomi hendaklah tidak mengatasi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri-Negeri.Tidak lama dahulu juga pernah seorang menteri mengesyorkan bulan Ramadhan dijadikan pesta makanan dan menarik pelancong dari luar negara. Hal yang demikian juga telah menyinggung perasaan umat Islam kerana bulan Ramadhan yang suci itu tidak seharusnya dipenuhi dengan pesta –pesta tetapi dengan ibadat dan pencarian ilmu.
PPMM menggesa supaya semua rakyat sama ada pemimpin ataupun rakyat tanpa mengira agama memahami ajaran Islam yang sebenar dan tidak menjadikan agama sebagai alat untuk memperolehi sesuatu objektif.
PPMM mendesak Kerajaan Negeri Kedah amnya dan YAB Menteri Besar Kedah bertegas dengan ketetapan larangan tersebut tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan lain. PPMM juga menyembah takzim kepada ke bawah Duli Sultan Kedah sebagai Ketua Agama agar tidak berganjak dengan ketetapan bagi memelihara kesucian agama Islam.
PPMM juga menyeru kepada ahli-ahli politik yang lain khususnya UMNO agar mengenepikan ideologi politik dan menyokong larangan tersebut demi memelihara kesucian agama Islam dan menjauhkan umat Islam dari gejala maksiat khususnya di bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiah umat Islam sekiranya tarbiah di bulan Ramadhan ini berjaya ia akan berkekalan sehingga 11 bulan yang berikutnya. Perbezaan ideologi politik di kalangan umat Islam telah menjadikan umat Islam tidak bersatu walaupun di dalam isu-isu Islam.
Pihak yang tidak berpuashati dengan larangan tersebut hendaklah berbincang dengan Kerajaan Negeri Kedah mengenai isu ini dan Kerajaan Negeri Kedah hendaklah berupaya menerangkan dasar negeri agar pihak yang tidak berpuashati tersebut mendapat penjelasan sebenar mengenai isu ini. Kedua belah pihak hendaklah ikhlas berbincang bagi mencapai kata sepakat selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
No comments:
Post a Comment