Monday 8 August 2011

KENYATAAN MEDIA (8 OGOS 2011)

PEMERIKSAAN PASUKAN PENGUATKUASAAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR KE ATAS DREAM CENTRE


Persatuan Peguam Muslim Malaysia memandang berat terhadap kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik sebagai reaksi susulan terhadap penyiasatan Pasukan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Dream Centre, yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011.


Melihat pada respons sebahagian besar daripada pemimpin politik yang keliru dengan peranan dan tugas JAIS, PPMM berasa sangat kesal atas kejahilan (ignorance) berkaitann hakikat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan Enakmen-Enakmen yang berkuatkuasa. Malah sepanjang sejarah negara, hatta sebelum kemerdekaan sekalipun, urusan berkaitan Islam tidak pernah diletakkan di luar naungan Sultan-Sultan dan diambil-alih pemimpin poitik. Hakikat ini mestilah dihormati dalam pemimpin memberikan sebarang komentar demi memberikan keadilan terhadap semua pihak dalam menilai isu ini.

Susulan hakikat ini, pihak PPMM membuat penegasan bahawa tindakan JAIS dilakukan di bawah ruanglingkup peruntukan perlembagaan dan enakmen negeri. Pemeriksaan tersebut adalah jelas berdasarkan pada aduan yang harus diselidiki pihak JAIS sebagai pihak yang diberikan kuasa dan bertindak mengikut lunas dan perntukan undang undang. Ternyata kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berdasarkan fakta fakta serta tidak bertanggungjawab serta mungkin bermotif jahat untuk merendahkan kedudukan Institusi Islam di negara ini. Aduan yang diterima pula adalah berkaitan dengan kesalahan seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang pelauan atau niat itu.
Seksyen 57 Enakmen yang sama pula memperuntukkan “ Jika daripada maklumat yang diterima atau selainnya seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap maka dia hendaklah, melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang telah diarahkan oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, dengan serta merta menghantar laporan mengenai maklumat itu kepada Ketua Pendakwa Syarie dan hendaklah pergi sendiri atau hendaklah mempertanggungjawabkan seorang daripa pegawai bawahannya pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menyiasat fakta-fakta dan hal keadaan kes itu dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi penemuan pesalah itu.
Oleh hal yang demikian apa yang dilakukan oleh JAIS tersebut adalah di dalam kuasa yang diberikan kepada mereka.

PPMM sekali lagi menegaskan bahawa dalam hal dan urusan melibatkan pentadbiran Islam, tiada sesiapapun yang sepatutnya campurtangan, khususnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan membawa pada penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam. PPMM menggesa semua pihak, terutamanya pemimpn politik agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen terhadap isu ini.

PPMM juga menggesa agar pihak JAIS diberikan ruang seadilnya untuk menyelesaikan siasatan dengan lengkap, dan sekiranya terdapat kes yang boleh dibawa ke ruang pengadilan maka proses undang undang hendaklah mengambil tempat sewajarya (due process of law).
Adalah amat penting proses undang-undang dibenarkan berjalan secara adil dan JAIS sebenarnya tidak berkewajipan menerangkan semua fakta kepada semua orang termasuk pemimpin politik kerana ia mungkin akan menjejaskan siasatan dan juga pendakwaan kelak jika ada. Walau bagaimanapun sekiranya ada pendakwaan kelak JAIS mempunyai beban untuk mengemukakan pembuktian kesnya di mahkamah kelak. 
PPMM  menggesa semua ahli politik tidak  mempolitikkan isu ini samada mengeluarkan kenyataan terbuka menentang siasatan tersebut ataupun mengambil peluang meraih sokongan politik daripada isu ini.


ABDUL HALIM BAHARI
SETIAUSAHA AGONG
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

1 comment:

  1. As salam. Tuan, saya rasa patut kita educate masyarakat tentang Perkara 3, 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan. Sebab dah bercelaru kefahaman depa, dah la mmg tak berapa paham pon mula2 nya. Macamana org Islam boleh menuntut Hak Samarata dan Kebebasan Beragama untuk murtad? Islam tu Hak Allah, bukan hak umat-Nya. Perkara 3 dah bg lesen besar tapi masyarakat tak paham..

    ReplyDelete